JOM KLIK

Thursday, September 6, 2012

KATA SETARA / GANDA / MAJMUK...?

Antara kata majmuk, kata ganda dengan kata setara, kebiasaannya akan timbul kekeliruan dari segi penggunaannya oleh pengguna bahasa Melayu yang kurang teliti dan cakna bahasa. Mereka sering menyalahgunakan penggunaan kata-kata tersebut secara tidak sedar kerana mungkin beranggapan bahawa kata tersebut tergolong dalam kategori yang sama, yang menjadikan penggunaannya pun sama.

KATA GANDA:-
  • Terbahagi kepada lima jenis, iaitu:-
  1. Kata Gandaan Penuh ( bola-bola, pokok-pokok, api-api )
  2. Kata Gandaan Separa ( jejari, jejambat, sesiku, kekuda )
  3. Kata Gandaan Irama ( kayu-kayan, lauk-pauk, kuih-muih )
  4. Kata Gandaan Bebas ( ipar-duai, simpang-perenang, mentua-taya )
  5. Kata Gandaan Menyaling ( tolong-menolong, tembak-menembak, buli-membuli )
  • Kata ganda akan menggunakan tanda sempang di tengahnya kecuali kata gandaan separa.
  • Kata gandaan irama bersifat 'kata keduanya' tidak memiliki apa-apa makna:-
  1. kuih-muih > muih - tidak memiliki apa-apa makna
  2. lauk-pauk > pauk - tidak memiliki apa-apa makna
KATA SETARA:-
  • Kata setara ialah kata yang terdiri daripada dua patah kata yang sama / setara golongannya.
  1. lembu kerbau > lembu - binatang; kerbau - binatang
  2. jimat cermat > jimat - adjektif; cermat - adjektif
  3. kerusi meja > kerusi - perabot; meja - perabot
  4. ibu bapa > ibu - orang; bapa - orang
  • Kata setara tidak memiliki tanda sempang di tengah-tengahnya.
  • Kata setara tidak boleh digandakan;-
  1. ibu bapa-ibu bapa  X
  2. ibu-ibu bapa  X
  3. semua ibu bapa /
  4. lembu-lembu kerbau X
  5. lembu kerbau-lembu kerbau  X
  6. banyak lembu kerbau  /
KATA MAJMUK:-
  • Kata majmuk pula ialah frasa / rangkai kata yang terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud tertentu.
  • Kebiasaannya kata majmuk dieja terpisah;-
  1. kereta api
  2. jalan raya
  3. pasar raya
  4. ubah suai
  5. mata pelajaran dan lain-lain.
  • Walaupun begitu, terdapat juga kata majmuk yang dieja rapat kerana penggunaannya telah terbiasa dan mantap;-
  1. tanggungjawab
  2. kerjasama
  3. setiausaha
  4. jawatankuasa
  5. warganegara dan lain-lain.
PENYALAHGUNAAN:-
  • Pengguna bahasa sering memasukkan tanda sempang bagi kata setara, misalnya;-
  1. ibu bapa > ibu-bapa
  2. jimat cermat > jimat-cermat
  • Pengguna bahasa sering menggandakan kata setara seperti juga kata majmuk lain, misalnya;-
  1. kasih sayang > kasih-kasih sayang / kasih sayang-kasih sayang
  2. ibu bapa > ibu-ibu bapa / ibu bapa-ibu bapa
Perkongsian oleh: Cikgu Mohamad Azemi Zawawi ( GC Bahasa Melayu)

No comments:

Post a Comment