KARANGAN BAHAGIAN
A
Tugasan – Usaha Meningkatkan
Penggunaan Pusat Sumber Sekolah (PSS)
Pusat
sumber sekolah memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang
murid. Pusat sumber sekolah menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan
kepada murid untuk mengakses pelbagai bahan bacaan bagi menyokong proses
pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Dengan kata lain, pusat
sumber sekolah menjadi tempat untuk mengumpul, menyusun dan menyebarkan bahan
pembelajaran dan pengajaran sama ada secara bercetak atau bukan bercetak bagi
memenuhi keperluan murid dan guru. Oleh itu, pelbagai usaha boleh diambil untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid dan
guru.
Suasana
yang kondusif perlu diwujudkan bagi meningkatkan penggunaan pusat sumber
sekolah. Susunan rak buku yang memudahkan pergerakan murid untuk mencari bahan
bacaan yang dikehendaki, kedudukan meja komputer yang teratur, ruang membaca
yang selesa dan suasana yang tenang serta ceria mampu menarik murid-murid
mengunjungi pusat sumber sekolah. Hal ini demikian kerana suasana yang kondusif
dapat menenangkan fikiran, sekali gus mendorong murid-murid untuk membuat
rujukan dengan lebih fokus. Mereka akan berasa selesa kerana dapat membuat
rujukan secara kendiri serta mampu merancang keperluan mengikut kehendak
masing-masing. Sebagai contoh, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin
pernah mengingatkan pengurusan sekolah supaya memperkasakan pusat sumber sekolah
kerana langkah tersebut dapat membantu dan membaiki kualiti pendidikan untuk
memberikan asas yang kukuh bagi membentuk masyarakat yang berpengetahuan luas.
Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa suasana yang kondusif mampu meningkatkan
penggunaan pusat sumber dalam kalangan murid dan guru.
Selain
itu, memperbanyak bahan bacaan dan rujukan juga mampu meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah. Pusat sumber sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai bahan
bacaan seperti buku, majalah, akhbar dan komputer dengan kemudahan internet
dapat memudahkan murid-murid membuat rujukan. Pusat sumber yang lengkap dan menepati
kehendak pelanggannya dapat membolehkan proses capaian maklumat dilaksanakan
dengan berkesan. Sebagai contoh, jika guru mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan meminta murid-murid melakukan kajian tentang tokoh-tokoh negara
seperti sumbangan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad, mereka dapat
mengakses maklumat yang diperlukan dengan cepat melalui kemudahan komputer dan
internet yang disediakan di pusat sumber sekolah. Murid-murid dapat menjimatkan
masa kerana mereka tidak perlu ke kedai buku untuk mencari maklumat yang
diperlukan oleh guru. Langkah ini ibarat sambil menyelam minum air kerana
murid-murid juga dapat menjimatkan wang kerana bahan rujukan yang diperlukan
terdapat di pusat sumber sekolah. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pusat sumber
sekolah yang lengkap dengan bahan bacaan dapat menarik minat murid dan guru
untuk mengunjunginya.
Seterusnya, mengadakan pertandingan banyak
membaca juga mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Pertandingan
membaca seperti bahan-bahan bacaan berunsur fiksyen bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris serta bahan bacaan bukan fiksyen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris
berupaya mendorong murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah. Hal ini kerana
mereka akan mengunjungi pusat sumber untuk meminjam bahan bacaan bagi menyahut
program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Mereka akan membaca seberapa banyak
bahan bacaan untuk dipenuhkan dalam Buku Rekod Membaca yang disediakan oleh
pihak penganjur. Sebagai contoh, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) mampu
mendorong murid-murid membaca seberapa banyak bahan bacaan kerana pada akhir
tahun pelbagai anugerah akan diberikan kepada murid-murid yang menunjukkan rekod
bacaan yang paling banyak. Anugerah seperti emas, perak dan gangsa beserta sijil
dan wang tunai mampu menggalakkan murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah
untuk meminjam bahan bacaan. Oleh itu, pertandingan banyak membaca dapat
meningkatkan penggunaan pusat sumber dalam kalangan
murid.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah yang
merupakan gedung ilmu perlu diperkasakan kerana ilmu dalam pelbagai bidang yang
terdapat di situ mampu melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan. Modal
insan inilah yang akan memacu negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan
menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Kita mahu
negara Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara
maju yang lain pada tahun tersebut. Oleh itu, usaha untuk menjana modal insan
berminda kelas pertama perlu digembleng oleh semua pihak agar aspirasi ini dapat
direalisasikan.
Perkongsian oleh: Cikgu Azaman bin Zakaria (GC Bahasa Melayu)
No comments:
Post a Comment